Buat para ibu, isteri,
kakak, adik-adik perempuan serta para suami dan ayah yang sayangkan isteri dan
anak-anak perempuanya, Rasulullah s.a.w telah memberi amaran berkenaan satu
sikap golongan hawa yang menjadi penghalang mereka daripada mencium bau syurga.
Bau syurga pun tidak dapat dihidu, apatah lagi melangkah kaki memasukinya.
Nauzubillahiminzalik! Moga Allah melindungi kita semua.
Hadith daripada Abu
Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ada dua
golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka
iaitu golongan yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan
untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian
tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang
yang melihat mereka. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka
tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau
wangi syurga boleh terhidu dari jarak perjalanan yang sangat jauh.” (Riwayat
Muslim no. 3971) Dalam riwayat Imam Malik, ada sambungan hadith ini iaitu:
“…Bau wangi syurga dapat dihidu dari jarak 500 tahun perjalanan.” (Al-Muwatta’,
no. 1421)
Kakak Memakai Baju Adik 8
Tahun
Perbincangan kita kali
ini akan tertumpu kepada golongan kedua yang disebut dalam hadith di atas.
Apakah yang dimaksudkan dengan berpakaian tetapi telanjang? Imam al-Nawawi
ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa ada beberapa makna. Antaranya
ialah perempuan itu menutup sebahagian auratnya dan membuka sebahagian yang
lain atau memakai pakaian yang terlalu nipis sehingga menampakkan bentuk
badannya.
Di dalam kitab al-Muntaqa
(Syarah al-Muwatta’ Imam Malik) pula, ditambah dengan pengertian memakai pakaian
tetapi terlalu ketat sehingga menampakkan bentuk badan. Betapa ramainya para
kakak pada hari ini yang berumur 28 tahun memakai baju adiknya yang berumur 8
tahun. Memakai baju dengan trend “see through”, kononnya mengikut peredaran
zaman. Walaupun ada inner, tetapi ia tetap menampakkan bentuk badan. Ada yang
merasakan sudah cukup sempurna apabila menutuk rambut, sedangkan tubuh badan
terserlah dengan pakaian ketat.
Wahai kaum Hawa,
peringatan ini adalah kerana sayangkan kalian, Rasulullah s.a.w tersangat
sayang kepada umatnya. Baginda terlalu ingin melihat umatnya melangkahkan kaki
ke syurga yang penuh dengan nikmat yang kekal selamanya. Baginda juga
menjelaskan bahawa para wanita ini sentiasa berlenggang-lenggok ketika berjalan
sehingga menyebabkan orang lain yang melihatnya tergoda. Inilah cara berjalan
para pelacur pada zaman jahiliah. Inilah cara mereka memperkenalkan diri dan
menarik perhatian para pelanggan.
Syeikh Abdul Majid
al-Zindani, seorang ulama Yaman menerangkan tentang kalimah ‘mumilat’ yang
digunakan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadith ini adalah isim fa’il dengan makna
seseorang yang menyebabkan orang lain menjadi senget. Apabila melihat perempuan
ini berjalan, ada lelaki yang akan menatapnya dengan penuh ghairah sehingga
tersenget badannya ke arah pergerakan perempuan tersebut. Fesyen rambutnya
seperti bonggol unta yang kelihatan terhuyung-hayang ketika berjalan.
Kesan Negatif
1. Menyusahkan para
isteri
Golongan wanita yang
berpakaian tetapi telanjang sebenarnya antara penyebab pelbagai masalah rumah
tangga yang berlaku. Para suami mula membandingkan wanita tersebut dengan
isterinya. Ada juga isteri yang mula menaruh syak wasangka apabila mendapati
ada rakan sekerja suaminya yang berpakaian sedemikian rupa. Apabila virus-virus
ini mula merebak dalam rumah tangga, ia boleh membawa kepada masalah yang lebih
besar.
2. Gangguan seksual
terhadap golongan lelaki
Ini adalah satu bentuk
gangguan yang menghilangkan tumpuan orang lelaki. Dalam hadith tersebut
menyatakan: “Sehingga senget orang lelaki yang melihatnya,” iaitu senget
fizikal dan senget akalnya apabila berhadapan dengan nafsu yang membara akibat
bahana golongan wanita tersebut.
3. Mendedahkan diri
kepada pelbagai bahaya
Senario hari ini
memperlihatkan betapa banyaknya kes rogol dan pengkhianatan kepada golongan
wanita. Salah satu faktornya adalah apabila golongan lelaki tergoda melihat
tawaran hebat serta promosi percuma wanita yang tidak bermaruah ini. Adakalanya
wanita seksi ini tidak menjadi mangsa tetapi nafsu dilampiaskan kepada insan-insan
lain yang tidak berdosa seperti gadis lain, kanak-kanak bahkan ada yang
menjadikan anak sebagai mangsa.
4. Tidak menghidu bau
syurga
Golongan berpakaian
tetapi telanjang ini tidak dapat menghidu bau syurga apatah lagi memasukinya.
Sukar untuk Berubah
Ramai wanita yang
menyedari kesilapan ini. Bahkan betapa ramai suami yang berasa bersalah melihat
keadaan isterinya yang setiap hari ke tempat kerja dalam keadaan berpakaian
tetapi telanjang. Sukarnya mengubah penampilan diri. Tambahan pula apabila ada
yang suka menyindir melihat perubahan positif yang cuba diusahakan.
Dalam situasi ini,
ingatlah perumpamaan yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w berkenaan sahabat.
Sahabat yang baik seperti penjual minyak wangi, walaupun kita tidak memperoleh
minyak wanginya, tetapi pasti dapat menumpang wangiannya. Bersahabat dengan
kawan yang jahat pula seperti berkawan dengan tukang besi, walaupun tidak
terkena percikan api, tetapi masih tidak mampu mengelak bau asap yang terkena
pada badannya.
Carilah sahabat yang
menjual minyak wangi, walalupun anda tidak membelinya tetapi anda pasti menjadi
wangi kerana dapat mencubanya secara percuma setiap hari.
No comments:
Post a Comment