Sejauh manakah pekanya wanita-wanita Islam dalam
berpakaian? Satu topik yang seringkali menimbulkan ketidak selesaan di kalangan
kaum Hawa. Maklumlah, ianya melibatkan sesuatu yang menutupi tubuh mereka,
melindungi kemaluan dan setiap bahagian sulit di tubuh mereka. Namun peredaran
masa membuatkan wanita-wanita zaman kini seakan lupa di mana aurat mereka
sebenarnya.
Jika ditanya kepada kaum Hawa, di manakah aurat anda?
Pasti jawapan tepat yang diberikan, iaitu seluruh tubuh kecuali wajah dan
pergelangan tangan ke hujung jari. Tetapi sebenarnya jawapan itu tidak tepat,
mereka terlupa bahawa konsep aurat bukanlah hanya menjaga agar kulit, rambut
dan bahagian-bahagian tubuh tidak kelihatan, malah bentuk tubuh juga sebenarnya
menjadi aurat yang sering dipandang remeh oleh kaum hawa muslim di zaman kini.
Kita tolak ke tepi pakaian-pakaian yang jarang kainnya, kerana setiap orang
sudah sedia maklum bahawa ianya adalah pakaian yang sebenarnya terlalu melampau
untuk seorang wanita Islam, lebih-lebih lagi sungguh memalukan sekiranya
sipemakainya bertudung, benar-benar menghina Islam dan seakan-akan menjadikan
wanita Islam sebagai objek seks nafsu manusia termasuk bukan Islam. Malah ianya
seakan-akan meletakkan maruah tubuh wanita Islam begitu murah dan mudah untuk
dilihat sekalian mata kaum Adam semata-mata hanya kerana ikutan fesyen dan
trend. Tetapi saya lebih suka hendak menyentuh aspek ukuran dan jenis kain
sebenarnya.
Zaman kini, teknologi telah membantu manusia untuk
mencipta sesuatu yang lebih menarik dan cantik. Begitu juga dengan fesyen.
Teknologi telah berjaya mencipta berbagai jenis kain yang cantik, lembut dan selesa
untuk dijadikan pakaian. Namun adakah kesemua jenis kain-kain itu sebenarnya
menepati syarak di dalam konsep aurat di dalam pemakaian kaum Hawa?
Minta maaf jika terlalu kasar, tetapi sebenarnya, pada
zaman kini, majoriti umat Islam wanita sebenarnya dibogelkan oleh fesyen tanpa
mereka sedari. Bagi mereka, aurat mereka benar-benar terjaga, sebagai contoh
bertudung dan berbaju kurung. Namun, hakikat sebenarnya, setiap lelaki yang
dianugerahkan nafsu oleh Allah s.w.t yang memandangnya tahu akan setiap inci
struktur tubuh mereka. Tahu di mana lengkuk rampingnya. Tahu setakat mana
montok bukit kembarnya. Tahu segebu mana peha mungilnya. Tahu sebulat mana dan
selentik mana punggungnya. Tahu selembut mana perutnya.
Astaghfirullahal'azim...
Setiap lelaki memiliki kelebihan ini bukan kerana
mereka gila seks, bukan kerana kuat nafsu, bukan kerana mereka dirasuki oleh
syaitan, tetapi kerana mereka memiliki 10 akal. Lantaran itu, adalah tidak
mustahil kaum Adam mempunyai fikiran yang bercabang dan berakal panjang dan
mampu memikirkan hingga ke tahap yang kita tidak jangkakan. Saya tiada langsung
berniat untuk merendah-rendahkan kaum Hawa, bagi saya kaum Hawa juga memiliki
akal yang bagus dan hebat kurniaan Allah s.w.t namun sejauh mana kebolehan akal
mereka metafsir dan memproses sebenarnya tidak seperti anugerah yang dimiliki
oleh kaum Adam. Senang kata masing-masing memiliki kelebihan dan keistimewaan
yang tersendiri. Oleh sebab itulah, ramai kaum Hawa yang tidak memikirkan
hingga ke tahap penglihatan fikiran yang dimiliki oleh kaum Adam.
Bagi mereka, setiap kali pakaian disarung ke tubuh, di
fikiran masing-masing yang ada hanyalah cantik ke tidak, matching ke tidak
dengan warna kulit, ada ke tidak tudung yang matching warnanya, jarang ke
tidak, kalau jarang pakai kain dalam atau chemise. Langsung tiada di fikiran
mereka adakah pakaian tersebut memperlihatkan tubuh mereka setiap kali mereka
berjalan, adakah pakaian tersebut menyerlahkan kemontokan tubuh gebu mereka dan
adakah pakaian tersebut terlalu menarik perhatian lelaki?
Kain-kain yang licin sebenarnya lebih membangkitkan
selera nafsu kaum Adam. Mungkin jika ditanya kepada sesetengah lelaki, ada
antaranya yang tidak mengakui dan hanya mengatakan mereka berasa biasa-biasa
sahaja. Hakikat sebenarnya adalah mereka tidak mahu memalukan kaum wanita dan
tidak mahu di cop sebagai kuat nafsu. Walau pun agak hipokrit dan munafik,
namun itu adalah jawapan yang mereka pilih.
Sesungguhnya kain-kain yang licin lebih menyerlahkan
kemontokan tubuh wanita. Sebagai contoh kain satin (atau satan) dan sutera.
Lengkuk dan kegebuan tubuh kaum Hawa lebih terserlah dan lebih mudah kelihatan
apabila kain tersebut melekap di tubuh. Malah tanpa mereka sedari, setiap
perbuatan mereka kadangkala membuatkan pakaian mereka memperlihatkan susuk
tubuh samada ketika berjalan, mengambil fail dari dalam rak, menonggeng mengisi
borang di kaunter borang di bank, mengambil sesuatu yang jatuh di lantai,
menggeliat dan berbagai lagi. Malah ketika duduk sekali pun mereka sebenarnya
menyerlahkan kegebuan tubuh masing-masing, lebih-lebih lagi apabila mereka
menyingsing baju kurung ke atas dan mendedahkan peha yang dibaluti oleh kain
yang licin. Semua itu sebenarnya menyumbang kepada keberahian kepada kaum Adam,
bergantung kepada bagaimana kaum Adam itu sendiri menerimanya. Sesungguhnya
semua itu dipandang remeh oleh kaum Hawa dan ianya benar-benar amat
menyedihkan.
Malah, ada juga sebilangan wanita-wanita Islam yang
sengaja membiarkan pakaian mereka agar kelihatan sendat membaluti tubuh
masing-masing. Jika berkebaya, tidak sah kalau tidak sendat menampakkan bentuk
punggung dan bajunya pendek mempamerkan tundun dan peha. Banggakah mereka
menjadi objek seks kaum Adam? Jika berbaju kurung, sengaja menempahnya agar
muat-muat dengan saiz tubuhnya hingga kelentikan tubuhnya jelas dijaja ke
hulu-hilir. Banggakah mereka menggoda nafsu kaum Adam dalam pakaian yang
'konon'nya menutup aurat? Jika tubuh sudah semakin berisi, pakaian-pakaian yang
jelas semakin mempamerkan kemontokan tubuhnya masih lagi dipakai dan tidak
diubahsuai agar bentuk tubuhnya tidak jelas kelihatan. Banggakah mereka menjadi
tatapan nafsu kaum Adam?
Sebenarnya setiap sesuatu yang Allah gariskan pasti
ada sebabnya. Tidak perlu hendak dipertikaikan tentang hukum Allah. Jika benar
maka benar, jika salah, ianya tetap salah. Tidak perlu hendak mempertikaikan
adakah perlu memakai jubah besar-besar dan bertudung labuh jika benar-benar
hendak mengikut syariat Islam. Tidak perlu hendak mempertikaikan adakah perlu
memakai pakaian yang jelas tidak berfesyen dan kelihatan kolot demi menjaga
aurat. Segalanya terletak pada kebijaksanaan akal kaum Hawa sendiri untuk
menjaga diri dan tubuh mereka dari menjadi objek nafsu kaum Adam dalam senyap.
Berbagai jenis kain yang cantik dan mahal yang jelas
tidak memperlihatkan susuk tubuh berada di pasaran. Tidak licin dan tidak
nipis. Pilih sahajalah yang mana berkenan. Ada yang berjenama mahal dan ada
juga yang bertaraf ekonomi. Masih lagi boleh melaram, masih lagi boleh dipuji
cantik dan anggun. Mata kaum Adam sejuk, hati pun tenang. Tidak perlu reka
sendat-sendat, tidak perlu reka singkat-singkat dan tidak perlu licin-licin.
Cukuplah sekadar cantik menawan atas ibadat kepada Allah demi menjaga maruah.
Saya memohon ribuan ampun dan maaf kepada semua wanita
yang membaca komentar saya hari ini, sekiranya ianya membuatkan anda semua
tidak puas hati dan panas atas hujah-hujah yang saya sampaikan. Saya sampaikan
kerana saya sayang dan hormat kaum Hawa, terutamanya wanita-wanita Islam.
Sebagai lelaki muslim, saya tidak sanggup melihat dan mendengar wanita-wanita
Islam menjadi objek seks dan menjadi tumpuan tatapan penuh nafsu dari setiap
mata lelaki termasuk yang kafir. Demi keagungan agama Allah yang saya junjung,
saya berhujah atas ibadah, bukan hentaman membuta tuli. Yang elok datangnya
dari Allah s.w.t, yang buruk adalah dari kita sendiri. Yang baik jadikan
teladan, yang buruk kita jauhkan. Salam sayang dari kaum Adam. Wallah'alam...
No comments:
Post a Comment