SeLAmAT DaTAnG

" Hayatilah kehidupan anda, janganlah dibandingkan dengan orang lain. "

Sunday 13 November 2011

Keadah penentuan jantina anak




v    Kadang-kala apabila wujud persoalan anak lelaki atau perempuan yang diingini, pelbagai jawapan akan diberikan. Ada yang berkehendakkan anak lelaki kerana anak lelaki dilihat lebih bersifat pemimpin dan akan menjadi ketua keluarga. Tidak kurang juga ada yang mendambakan anak perempuan kerana beranggapan anak perempuan lebih mudah dilentur dan diajar.

v    Malah persoalan anak lelaki atau perempuan ini dilihat sangat penting bagi sesetengah bangsa terutamanya masyarakat Cina yang lebih mengutamakan anak lelaki apabila berbicara tentang harta dan kesinambungan waris keturunan keluarga. Walaupun dalam semua hal yang berkaitan dengan ciptaan manusia, segala-galanya adalah atas kekuasaan Allah s.w.t.

v    Dalam dunia perubatan, pilihan dan kaedah merancang jantina anak menjadi penting untuk mengelak masalah kesihatan akibat penyakit bawaan baka seperti penyakit ‘hemophilia’ iaitu sejenis penyakit yang ada kaitan dengan darah. Penghidapnya iaitu anak lelaki mengalami kesulitan dalam pembekuan darah menyebabkan darah tidak berhenti mengalir dari luka. Justeru dalam konteks ini, jika jantina anak dapat ditetapkan, penyakit ini dapat dielakkan.

v    Sejak zaman-berzaman manusia telah menggunakan pelbagai cara dan teknik dalam usaha merancang jantina anak. Salah satu cara menentukan jantina ini ialah melalui kiraan bulan yang sering diamalkan oleh masyarakat Cina. Menurut kaedah ini, jika kehamilan dihasilkan pada bulan tertentu, maka anak lelaki akan dilahirkan, manakala persenyawaan benih yang berlaku pada bulan yang lain menghasilkan anak perempuan.

v    Mengikut teori sains, penentuan jantina ini adalah terletak pada benih pihak suami. Ini kerana benih lelaki atau sperma yang mengandungi berjuta-juta benih itu memiliki kedua-dua kromosom iaitu X dan Y manakala telur wanita hanya mengandungi kromosom X. Bagi menghasilkan anak lelaki, telur memerlukan kromosom Y daripada benih suami manakala kromosom X diperlukan bagi menghasilkan anak perempuan. Pada kebiasaannya antara beratus-ratus juta benih lelaki yang dikeluarkan selepas persetubuhan, bilangan benih yang membawa faktor jantina lelaki (Y) dan perempuan (X) adalah lebih kurang sama.

Ø    Jika pasangan ingin mendapatkan anak lelaki mereka dinasihatkan supaya mengadakan persetubuhan tepat pada ketika isteri melalui proses kesuburan iaitu pada hari yang ke-13 atau ke-14 selepas hari pertama haid. Pada masa ini, pasangan tidak boleh melakukan persetubuhan beberapa hari sebelum waktu subur tetapi boleh meneruskannya selepas waktu subur itu. Sekiranya pasangan berkehendakkan anak lelaki, ibu disyorkan supaya mengambil makanan yang mengandungi lebih daging, buah-buahan dan makanan yang bergaram.


Ø    Manakala bagi mendapatkan anak perempuan, pasangan dinasihatkan agar melakukan persetubuhan 24 jam sebelum pengeluaran telur iaitu pada hari ke-11 atau ke-12. Pasangan dinasihatkan tidak melakukan persetubuhan empat atau lima hari selepas persetubuhan pertama berlangsung. Selain itu, kaedah ‘douching’ boleh digunakan dengan menggunakan cecair yang mengandungi sedikit asid seperti ‘Lactacyd’ setengah jam sebelum melakukan persetubuhan. Untuk mendapatkan anak perempuan pula, pengambilan makanan yang mengandungi lemak dan makanan berasaskan susu perlu diambil dalam kuantiti yang banyak.

v    Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa jantina anak boleh ditentukan menerusi tahap kepuasan isteri ketika melakukan persetubuhan iaitu ketika isteri mendapat kepuasan yang tinggi, cecair beralkali akan dikeluarkan seterusnya merangsang pergerakanan benih Y suami yang berupaya menghasilkan anak lelaki. Manakala proses sebaliknya pula bagi mendapatkan anak perempuan kerana dalam keadaan tersebut, cecair berasid yang merangsang pergerakan benih X akan dikeluarkan.


v    Walaupun pelbagai kaedah diperkenalkan bagi membantu pasangan memiliki anak dengan anak pilihan, Allah s.w.t. jualah yang menentukan ‘biru’ atau ‘merah jambu’ yang dimiliki kelak. Apa yang penting, anak yang dilahirkan sihat dan cukup sifatnya walaupun bukan jantina yang dihajati.

No comments:

Post a Comment