Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman
Osman, berkata sebarang kegiatan songsang yang bertentangan dengan agama Islam
terutama membabitkan hubungan sejenis boleh menjurus seseorang muslim itu
kepada murtad.
Beliau berkata, hubungan sejenis
atau songsang amat ditegah dalam Islam kerana ia membawa kepada pupusnya
manusia sejagat.
“Kegiatan bertentangan dengan agama
membawa seseorang itu kepada murtad,” katanya kepada pemberita di sini, hari
ini.
Abdul Rahman mengulas penganjuran
Seksualiti Merdeka 2011 yang dikecam dan mendapat bantahan meluas pelbagai
pihak termasuk wakil-wakil agama di dalam negara.
Beliau menasihatkan umat Islam
menghindari perilaku songsang, malah, katanya menyokong program sedemikian pun
dilarang sama sekali.
“Hubungan sejenis tidak dibenarkan
Islam dan di Pahang ini tidak mahu adanya kumpulan lelaki yang menolak
perempuan dan sebaliknya,” tambah beliau.
Abdul Rahman menasihatkan semua
pihak termasuk ibu bapa menjaga anak-anak daripada terbabit dengan perkara-perkara
yang boleh memesongkan akidah. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment