PADA keseluruhannya
Kaabah adalah suatu binaan mulia yang penuh dengan keberkatan. Al Tabrani
meriwayatkan di dalam al-Mu`jam al-Kabir daripada Ibn Abbas bahawa Rasulullah
SAW menyatakan: “Sesungguhnya Allah menurunkan 120 rahmat ke atas Kaabah,
setiap hari 60 untuk orang yang melakukan tawaf, 40 untuk orang yang solat dan
20 untuk orang yang memandangnya.”
![]() |
Kaabah pada 1880 |
![]() |
Kaabah 1910 |
![]() |
Kaabah pada masa kini |
Bagaimanapun, ada
beberapa bahagian Kaabah yang menjadi tumpuan dan perhatian lantaran
kelebihannya.
Hajarul Aswad
Hajarul Aswad adalah
sepotong batu yang berasal dari syurga. Warna asalnya adalah lebih putih
daripada susu. Dikatakan ia menjadi hitam kerana luruhnya dosa manusia yang
mengucupnya. Pelbagai peristiwa sejarah dilalui oleh Hajarul Aswad. Hinggalah
ke hari ini yang masih tinggal daripada Hajarul Aswad adalah sebanyak lapan
kepingan sebesar biji tamar yang diikat pada lilin yang dicampur kasturi di
dalam lingkungan perak. Sesiapa yang ingin mengucupnya hendaklah meletakkan
mukanya ke atas kepingan itu.
Rukun Yamani
Rukun Yamani adalah
penjuru Kaabah yang bertepatan dengan Rukun Hajarul Aswad bagi orang yang
sedang tawaf. Ia adalah salah satu daripada dua rukun yang didirikan di atas
asas binaan Nabi Ibrahim. Rasulullah SAW menyentuh rukun itu ketika tawaf.
Hijr Ismail
Pada asalnya kawasan
Hijr Ismail termasuk dalam binaan Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim. Ia
dikeluarkan dari Kaabah ketika binaan Quraisy. Justeru, solat di dalamnya
menyamai solat di dalam Kaabah.
Multazam
Multazam adalah
kawasan hadapan Kaabah di antara Hajarul Aswad dan pintu kaabah. Dikatakan
Multazam adalah kawasan yang paling mustajab doa. Menurut sebahagian riwayat
orang Quraisy sebelum Islam menjadikan Multazam tempat melafazkan sumpah
terutama bagi menyelesaikan perbalahan di kalangan mereka.
Mizab
Mizab adalah pancuran
emas yang diletakkan bagi menjadi laluan air dari bumbung Kaabah masuk ke dalam
Hijr Ismail. Menurut sebahagian pendapat di bawahnya adalah di antara tempat
paling mustajab berdoa.
Syazarwan
Syazarwan adalah jubin
yang dibina di bahagian bawah dinding Kaabah. Tingginya lebih kurang dua kaki.
Ia diletakkan untuk menandakan saiz asal Kaabah yang dikurangkan ketika binaan
Quraisy berbanding binaan Nabi Ibrahim. Justeru, ia adalah sebahagian daripada
Kaabah. Bertawaf di atasnya atau sebahagian anggota badan di atasnya
menyebabkan tawaf tidak sah.
Kiswah
Kiswah adalah kelambu
atau kain yang menutupi Kaabah. Diriwayatkan orang pertama yang meletakkan
kiswah Kaabah adalah Tubba al Himyariyy As`ad Abi Karb. Kiswah Kaabah diperbuat
daripada 658 kilogram sutera mentah yang ditenun. Ukurannya selepas siap
ditenun adalah 658 meter persegi. Kos pembuatannya adalah 17 juta Riyal Arab
Saudi. Kiswah akan diganti dengan yang baru pada pagi 9 Zulhijah (hari Wuquf)
setiap tahun.
Makam Ibrahim
Makam Ibrahim adalah
batu yang ada kesan dua tapak kaki Nabi Ibrahim. Batu itu sekarang ini diikat
dengan perak dan diletakkan di dalam sebuah tempat yang diperbuat daripada
tembaga berwarna keemasan. Menunaikan solat di sisi Makam Ibrahim adalah suatu
yang mempunyai kelebihan yang besar. Allah berfirman bermaksud : “Dan ingatlah
ketika kami jadikan Baitullah sebagai tempat berhimpun bagi manusia dan tempat
yang aman. Dan jadikanlah sebahagian dari Makam Ibrahim sebagai tempat solat.”
(Surah al-Baqarah, ayat 125)
Telaga Zamzam
Telaga Zamzam adalah
sebuah telaga di hadapan Kaabah di kawasan di antara Hajarul Aswad dan
Multazam. Ia dikatakan terbit daripada terjahan kaki Nabi Ismail. Ada riwayat
yang menyatakan ia terbit hasil pukulan sayap Jibrail. Kelebihan air dari
Telaga Zamzam ini dinyatakan di dalam beberapa hadis.
No comments:
Post a Comment