“Saya rela dilokap ustaz. Saya tidak mahu suami saya
tahu. Kalau tidak pasti dia marah dengan saya,” rayu seorang wanita yang
ditahan kerana berkhalwat kepada Ketua Operasi dan Penguat kuasa Jabatan Agama
Islam Pulau Pinang (Jaipp), Khairul Azman Azizan.
Wanita yang sudah 29 tahun berkahwin dan mempunyai tiga
anak itu memberi alasan sedemikian ketika Khairul Azman memberitahu perlu
menghubungi suaminya untuk ikat jamin.
Dia dan kekasihnya ditahan penguat kuasa Jaipp dalam
serbuan di sebuah rumah tumpangan, kelmarin.
Mereka tergamak menipu suami dan isteri masing-masing dan
membayar sewa rumah tumpangan yang hanya bernilai RM40 semalam.
Ketika ditahan lelaki itu tidak memakai baju manakala
wanita berkenaan hanya memakai kemeja-T dan kain batik.
Lelaki berusia 45 tahun dan sudah dua kali berkahwin itu
mengakui mengenali suami wanita berkenaan yang sama-sama bekerja sebagai
pengutip barangan lusuh.
Menurutnya, ia adalah kali pertama dia mula mengajak
kekasihnya yang berusia 44 tahun itu ke rumah tumpangan.
“Saya kenal suami dia dahulu sebelum kenal dengan dia
sejak setahun lalu, tapi ini kali pertama saya ajak dia tidur di rumah
tumpangan,” katanya.
Lebih menyedihkan apabila lelaki yang pernah bercerai dan
kemudiannya berkahwin lain itu mempunyai isteri muda berusia 25 tahun yang kini
sedang hamil lapan bulan.
Sementara itu, wanita yang mempunyai tiga anak berusia
antara 27 hingga 16 tahun itu mengakui tidak mempunyai masalah rumah tangga
malah suaminya juga bukan seorang yang panas baran.
“Ini kali pertama dan saya akui saya silap, saya memang
silap,” katanya sambil mengesat air mata.
Khairul Azman kemudian bertanya bagaimana suami wanitu
itu mengizinkannya keluar pada waktu tengah malam.
Wanita itu menjawab dia menggunakan alasan keluar
bekerja.
“Jadi suami puan ada di rumah menjaga anak-anak. Kalaulah
dia tahu puan di luar dengan kawan dia sendiri, bagaimana perasaannya? Cuba
puan bayangkan jika suami puan sekarang berada di luar dengan perempuan lain.
Bagaimana rasanya.
“Kerana itulah kita sentiasa harus ingat dengan ungkapan
Astaghfirullah, Subhanallah, Allahuakbar,” kata Khairul Azman menasihati wanita
itu ketika berada di Pejabat Jaipp.
Sumber berita